Monday, June 11, 2012

MAPIM MENGUNDANG SEMUA UNTUK "RAMADHAN DI GAZA"

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Malaysian Islamic NGO Consultation Council) Alamat : 24-4-1 Diamond Square , Jalan Gombak , K.L Tel : 0143249697 / 0175554828 (MAPIM adalah didaftarkan sebagai Lembaga Pemegang Amanah dan mempunyai anggota koaliasi sebanyak 24 NGO diperingkat Kebangsaan.) TABUNG GAZA – MAPIM : BIMB : 0801301007582 PENGUMUMAN AWAM 10 hb Jun 2010 “MISI KONVOI MAPIM RAMADHAN DI GAZA” Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang Assalamualaikum wr.wb. Kepada semua pencinta keadilan , keamanan dan kemanusian KUTIPAN SUMBANGAN DAN PENYERTAAN MISI KONVOI MAPIM RAMADHAN DI GAZA MAPIM berasa terpanggil meneruskan ikhtiar tanpa henti untuk akhirnya membebaskan rakyat Gaza dari kepungan Israel. Semenjak misi Freedom Flotilla 22 Mei hingga 8 Jun 2010 yang lalu , yang disertai oleh seorang wakil MAPIM , kami semakin yakin bahawa usaha untuk membebaskan Gaza dari penderitaan selama lebih 3 tahun , boleh dicapai. Walaupun seluruh dunia menyaksikan kekejaman Israel kini merentas bangsa dan negara serta juga menjangkau wilayah perairan antarabangsa , solidariti kira-kira 700 para aktivis keadilan dan kemanusiaan dari lebih 40 negara yang menyertai Freedom Flotilla tersebut mampu memecah keangkuhan Israel. Menyerang dan membunuh aktivis yang tidak bersenjata dengan gerombolan tentera yang lengkap dengan senjata canggih, bukan sahaja bukti Israel adalah penjenayah antarabangsa paling hina , malah juga menunjukkan ciri pengecut tentera Israel. Sunggupun harga yang terpaksa dibayar oleh pelbagai pejuang pembebasan Palestin pada misi Flotilla itu dan juga ratusan ribu yang terbunuh sepanjang lebih 60 tahun semenjak Israel didirikan , adalah nyawa dan hartabenda , akan tetapi ia menunjukkan memperjuangkan hak dan prinsip keadilan dan rasa kemanusiaan adalah senjata yang paling ampuh untuk berhadapan dengan kuasa Israel yang paling kejam didunia. Dengan kenyataan yang sangat menyayat hati ini , MAPIM menetapkan supaya wujudnya sebuah gabungan kerjasama seluruh NGO dan masyarakat sivil di Malaysia bersama dengan kerajaan negeri dan Pusat untuk secara konsisten melaksanakan ikhtiar berterusan sehingga rakyat Palestin kembali tegak sebagai negara yang berdaulat. Lantaran itu MAPIM sebagai sebuah wadah koaliasi pelbagai NGO di Malaysia mengistiharkan misi lanjutan pasca Freedom Flotilla iaitu Misi Konvoi MAPIM Ramadhan Di Gaza 1431H . Konvoi kali ini adalah untuk sekali lagi memecah kepungan Israel dan menuntut pintu sempadan Rafah di Mesir di buka secara berkekalan menjelang bulan Ramadhan. Misi ini mengambil semangat Freedom Flotilla dan akan mengundang para aktivis Free Gaza Movement seluruh dunia untuk berkampung di Gaza pada bulan Ramadhan 1431H ini bagi memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada lebih 1.5 juta mangsa kekejaman Israel. Misi Ramadhan di Gaza 1431H ini merupakan suatu mesej umat Islam khususnya dan kemanusiaan seluruh dunia amnya untuk menjadikan bulan penuh barakah itu sebagai titik tolak penyatuan dan kebersamaan seluruh dunia untuk menamatkan penderitaan rakyat Palestin. Misi ini akan mengatur konvoi antarabangsa untuk membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui pintu Rafah dan seterusnya bersama rakyat Gaza menjalani ibadat puasa. MAPIM menyediakan peluang ini untuk mengajak seluruh rakyat Malaysia agar menjayakan inisiatif Malaysia ini sebagai sumbangan kita memastikan Gaza benar-benar dibebaskan sebagai wilayah yang berdaulat. MAPIM melancarkan Misi Ramadhan di Gaza ini dengan mengundang semua kerajaan Negeri untuk terlibat bersama-sama dengan memperuntukkan sebahagian dari kutipan Zakat negeri masing-masing bagi disalurkan kepada kejayaan Misi Ramadhan di Gaza ini. Untuk itu kami mensasarkan Tabung RM 1 juta untuk Misi Ramadhan Di Gaza ini. MAPIM akan mengusahakan agar jaringan NGO antarabangsa yang terlibat secara langsung dalam perjuangan membebaskan Palestin akan turut bersama dalam Misi ini. Ini termasuk semua agensi antarabangsa seperti ASEAN , OIC , PBB , NAM untuk memastikan laluan ke Gaza akan terjamin dan mendapat pengiktirafan dunia. MAPIM akan mengaturkan majlis penerangan melalui siri jelajahnya untuk memastikan dokongan masyarakat diperolehi dan akan membuka penyertaan agar aktivis masyarakat , ahli parlimen , pemimpin NGO dan parti politik , ulama dan ahli media dapat mengikuti Misi Ramadhan di Gaza ini. Kami dengan ini merayu kepada semua pencinta keadilan , keamanan dan kemanusiaan untuk membantu menjayakan MAPIM sebagai peneraju Misi ini untuk menjadi menyampaikan bantuan kepada Gaza dalam konvoi yang dianjurkan ini. Segala bantuan dan penyertaan belum merujukkan kepada Urusetia MAPIM untuk penerangan lanjut . Wassalam. Mohd Azmi Abdul Hamid Setiausaha Agung MAPIM / Presiden TERAS

TRAGEDI AN-NAKSAH

Friday, June 5, 2009 Utusan Malaysia 5 Jun - Tragedi An-Naksah Tragedi An-Naksah lengkapi penaklukan Israel di bumi Arab Oleh DR. HAFIDZI MOHD. NOOR EMPAT puluh dua tahun lalu, pada tarikh ini, satu peristiwa bersejarah berlaku kepada dunia Islam. Tanggal 5 Jun 1967 menyaksikan Israel melancarkan operasi ketenteraan secara besar-besaran ke atas Republik Arab Bersatu (Mesir), Jordan dan Syria secara serentak. Peperangan yang dikenali dalam sejarah konflik Asia Barat sebagai "Perang Enam Hari" itu berakhir pada 10 Jun 1967. Dalam tempoh itu, Israel berjaya menewaskan tiga negara Arab walaupun negaranegara itu turut dibantu oleh Arab Saudi, Iraq, Algeria, Tunisia, Sudan, Somalia, Maghribi, Mauritania, Yemen, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu, Oman dan Qatar dengan membekalkan askar dan kelengkapan tentera. Mesir menerima pukulan paling dahsyat apabila lebih 10,000 askarnya terkorban. Angkatan udaranya musnah sama sekali apabila kira-kira 300 jet pejuangnya diranapkan oleh tentera Israel dalam serangan mengejut. Apabila serangan berakhir, Israel menguasai Tebing Barat, Genting Gaza, Baitulmaqdis Timur, Tanah Tinggi Golan dan Semenanjung Sinai. Dalam serangan itulah Masjid Al-Aqsa ditawan, sehinggalah ke hari ini. Kekalahan besar yang amat memalukan seluruh dunia Arab dan Islam itu diperingati sebagai "Hari An-Naksah" (Hari Kekalahan). Ia adalah tragedi besar kedua menimpa umat Islam dan dunia Arab khususnya. Pertama ialah "Hari An-Nakbah" (Malapetaka) yang berlaku pada 15 Mei 1948. Peristiwa itu membawa kepada penubuhan negara Israel di atas 77 peratus tanah Palestin yang dirampas. Peristiwa An-Nakbah dikaitkan dengan pengusiran 800,000 rakyat Palestin yang kini menjadi pelarian di Syria, Jordan, Lubnan dan Mesir (Gaza). An-Naksah pula melengkapkan penaklukan Israel ke atas keseluruhan tanah Palestin dan status qou itu berterusan sehingga kini. Mesir semasa era Presiden Anwar Sadat berjaya membuat kejutan dengan menyerang kedudukan tentera Israel di Semenanjung Sinai dalam "Perang Oktober 1973" atau "Perang Ramadhan". Kemenangan Mesir bagaimanapun tidak dapat disempurnakan apabila AS campur tangan dan satu gencatan senjata dilaksanakan. Pertimbangan politik oleh Mesir itu akhirnya membuka laluan kepada termeterainya perjanjian damai Mesir-Israel 1978. Perjanjian damai Camp David itu mengembalikan Semenanjung Sinai kepada Mesir. Namun harga yang terpaksa dibayar oleh rakyat Palestin khususnya di Gaza berterusan. Perjanjian itu menyaksikan Mesir mengiktiraf Israel dan bertanggungjawab menjamin keselamatan entiti Israel terutama di Genting Gaza. Jika laluan di Rafah ditutup sehingga rakyat Gaza yang cedera dalam serangan akhir tahun lalu dan awal tahun ini tidak dibenarkan menyeberang untuk mendapat rawatan di Mesir, ia adalah kesan daripada 'perjanjian damai Mesir-Israel pada 1978 itu. Apakah reaksi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)? Seperti yang dijangka, PBB bersidang dan meluluskan Resolusi 242 yang mengkehendaki Israel berundur ke garisan hijau yang diputuskan oleh Perjanjian Rhodes pada 1949. Ini bermakna Israel perlu keluar dari semua wilayah yang didudukinya pada Jun 1967. Pendudukan ke atas wilayah Palestin di Tebing Barat, Genting Gaza dan Baitulmaqdis Timur adalah pendudukan haram. Bagaimanapun Israel tidak mempedulikan resolusi tersebut dan juga resolusi-resolusi lain. Bagi Israel, PBB adalah sebuah pertubuhan yang "tidak berkuku dan bertaring". Ia berasa kuat selagi AS berada di sampingnya. Hari An-Naksah juga menandakan tarikh Masjid Al-Aqsa ditawan oleh tentera Zionis. Sejak itu, ia terdedah kepada ancaman dan perbuatan keji Zionis. Ia termasuk peristiwa masjid itu dibakar pada 21 September 1969 yang diingati sebagai "Hari Al-Quds" setiap tahun. Zionis juga menggali terowong-terowong rahsia di bawah masjid itu bertujuan melemahkan tapaknya. Kumpulan ekstremis Zionis turut merancang merobohkan masjid itu dan mendirikan synagogue (kuil) yang mereka namakan Haikal Sulaiman. Pada September 2000, lebih 1,000 askar Israel memasuki kawasan masjid untuk membangkitkan kemarahan rakyat Palestin dan umat Islam. Peristiwa biadap itu mencetuskan "Intifada". Selain itu, rejim Zionis juga melaksanakan agenda me-Yahudikan kawasan masjid itu dan Baitulmaqdis Timur. Rumah-rumah penduduk Palestin dirobohkan, tanah mereka dirampas, mereka diusir dan status pemastautin mereka dibatalkan. Israel kemudian membina unit-unit apartmen dan perumahan eksklusif untuk pendatang haram Yahudi di situ. Pembinaan tembok pemisah di Tebing Barat yang kini menjangkau 800 kilometer panjang membuktikan usaha Israel mengepung rakyat Palestin dan menyukarkan mereka menziarahi Masjid Al-Aqsa. Inilah jenayah yang terus menjadi agenda Israel di Palestin. Hari ini Israel terus berdolak-dalik dengan penyelesaian dua negara (two-state solution). Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu tanpa rasa bersalah menolak penyelesaian dua negara itu dan juga usaha mewujudkan negara Palestin. Sikap itu diambil meskipun semua perjanjian damai yang ditandatangani bersama Fatah sejak Perjanjian Oslo 1990 berdasarkan kepada Resolusi 242 yang diluluskan pada 1967. Jika inilah pendirian yang dipertahankan oleh Israel, apakah dunia masih meletakkan harapan kepada "penyelesaian dua negara" itu? Mungkin sudah tiba masanya dunia menimbang formula yang ditawarkan oleh Hamas iaitu Israel berundur dari wilayah yang didudukinya sejak 1967, menghentikan kepungan ke atas Gaza dan membentuk gencatan senjata jangka panjang tanpa perlu Palestin mengiktiraf kewujudan Israel. Namun bersediakah Israel mengiktiraf negara Palestin? Hakikatnya mereka adalah perampas tanah Palestin dan kewujudan Israel di atas tanah yang dirampas sejak 1948 itu adalah kewujudan haram. Maka pilihan yang terbaik ialah akur kepada Resolusi 242 dan mana-mana resolusi yang berkaitan seperti Resolusi 338. Kemudian bersetuju dengan gencatan senjata panjang. Sekurang-kurangnya keamanan ke atas wilayah bergolak itu dapat diwujudkan buat sementara waktu sehingga masyarakat antarabangsa mencari ruang kepada pelaksanaan pelan penyelesaian yang berkekalan. PENULIS ialah Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE) artikel yg dah lama aku cari..mmg WAJIB baca..JOM! ^^